I made this widget at MyFlashFetish.com.

1/3/10

Masyarakat Islam Bantah Keputusan Mahkamah Membenarkan Gereja Menggunakan Kalimah Allah


KUALA LUMPUR: Pemimpin Islam semua parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang bimbang dengan implikasi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya, mahu kerajaan menyegerakan proses rayuan terhadap keputusan itu. Mereka berpendapat keputusan mahkamah Khamis lalu itu melanggar Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi dan mahu ia diperhalusi supaya sensitiviti agama dan kaum di negara ini diambil kira. Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat isu itu sebagai amat bahaya dan perlu diselesaikan segera kerana tidak mahu peristiwa Natrah di Singapura berulang di Malaysia.

"Penggunaan perkataan Allah (dalam majalah Herald-The Catholic Weekly) secara tidak langsung menyebarkan dakyah `Christianity' di kalangan orang Islam yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan bahawa agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Perkara ini harus dilihat oleh pengamal undang-undang, sama ada kehakiman mahupun guaman.

"Kita mengharapkan keadilan. Kes ini perlu diteliti bukan saja dari aspek perundangan sivil, tetapi juga perundangan syariah serta maksud tersirat Perlembagaan Persekutuan dan sensitiviti umat Islam," katanya.

Beliau meminta semua pihak menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa perkataan Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pergerakan itu bimbang dengan implikasi yang timbul berikutan keputusan mahkamah itu dan akan berjuang bagi menentukan kedudukan serta kesucian agama Islam tidak dicemarkan.

"Jika perlu kami akan memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Beliau berkata, Wanita Umno juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom bagi membincangkan isu itu. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat walau apa pun alasan yang diberi sebagai justifikasi keputusan berkenaan, ia tetap menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

"Terjemahan 'God' yang diguna dalam agama lain dalam bahasa Melayu atau Arab ialah 'Tuhan', bukan Allah. Allah spesifik Tuhan bagi orang Islam. Kalau mereka faham mereka akan guna perkataan Tuhan, bukan Allah.

"Saya akui kalimah Allah diguna di Sabah dan Sarawak sebelum mereka masuk (bergabung) dalam Malaysia... tetapi di Semenanjung kita tak pernah dengar pula," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Mahasiswa Melayu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam.

Pada 16 Februari tahun lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berharap rayuan segera dilakukan kerana melihat semacam ada satu usaha cuba merobek keadaan sehingga timbul kekeliruan di kalangan umat Islam.

"Ini bukan isu politik, ini isu akidah, tauhid yang umat Islam tidak akan beri respon (maklum balas) senyap terhadap isu ini," katanya.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, juga berharap kerajaan menyegerakan proses rayuan itu kerana ia melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberi jaminan orang bukan Islam tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh meragukan umat Islam.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kalimah Allah dalam akidah adalah membabitkan soal tauhid dan isu berkenaan perlu diteliti secara halus dan jika perlu, ada campur tangan Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan bagi mengelak suasana tegang dalam masyarakat.

"Jika kalimah Allah digunakan dalam agama Kristian, ia tidak membawa maksud sebenar dalam al-Quran kerana tidak menggambarkan ketauhidan.

"Kita tidak nafi ada istilah yang Allah sebut mengenai penggunaan Allah oleh bukan Islam, contohnya `Kalau kamu tanya mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi, nescaya mereka kata Allah. Dalam konteks penciptaan memang mereka mengatakan Allah tetapi nilai ketauhidan yang membezakan antara Islam dan bukan Islam," katanya.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin dari PKR berpendapat keputusan mahkamah berkenaan tidak tepat dan boleh dipertikaikan, malah akan menyebabkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.

Beliau dalam kenyataan media di laman blognya, berkata keputusan itu secara tidak langsung mencabar dan melanggar Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan fahaman dan dakyah agama lain tidak dibenarkan sama sekali terhadap orang Islam. Membenarkan penerbitan Kristian menggunakan perkataan Allah bagi penerbitan berbahasa Melayu jelas satu bentuk dakyah halus kerana Melayu adalah bangsa yang beragama Islam.

"Ini sekali gus mencabar dan tidak menghormati Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa orang Melayu mestilah beragama Islam; dengan membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam risalah penerbitan Kristian, ini sebenarnya dikira akan mendorong penganut Kristian dalam perlakuan jenayah kerana Enakmen Penyekatan Pengembangan Agama, Iktikad dan Kepercayaan Lain terhadap Orang Islam (Anti Propagation Law), yang digubal dengan sahnya menurut Artikel 11 Perlembagaan di beberapa negeri jelas memperuntukkan bahawa adalah satu kesalahan jenayah bagi sesiapa menggunakan perkataan tertentu termasuk 'Allah' kecuali bagi maksud Islam," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman menggesa kerajaan memfailkan rayuan serta-merta supaya keputusan itu dikaji semula dan melarang mana-mana agama selain Islam menggunakan kalimah Allah.

"Negara telah menikmati suasana kebebasan beragama selama mana Islam menjadi agama rasminya dan semua kaum di negara ini harus menghargainya dengan tidak mencuba menggugatnya dengan bertindak secara bodoh membangkitkan perkara remeh seperti ini," katanya.

Katanya, PPIM bimbang keputusan itu bakal mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara akibat sentimen agama umat Islam yang sensitif dengan perkara yang menyentuh soal kepercayaan mereka dan kebimbangan mereka akan nasib keturunan mereka jika perkara ini berterusan.

"Umat Islam mengenal Allah berserta sifatnya sekali dengan ketauhidan yang meliputi ketauhidan rububiah, uluhiah dan asma' wa sifat. Kita percaya Allah yang bercirikan ahadiah dan samadiah.

"Bagaimana mungkin pihak lain merujuk Allah sewenang-wenangnya tanpa melihat semula akan sifat dan ciri-ciri Allah yang sediakala itu? Apakah sifat Allah yang mereka percaya itu? Al-Quran ada menjelaskan bahawa orang Yahudi mempercayai Uzair itu anak Allah dan orang Nasrani pula percaya bahawa Al-Maseh itu anak Allah. Ini jelas bertentangan dengan Allah yang diimani oleh umat Islam," katanya.

No comments:

Post a Comment