KUALA LUMPUR 31 Dis. - Kewujudan sudut pidato di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) berupaya melahirkan mahasiswa yang mempunyai sifat berani dan bertanggungjawab dalam melontarkan pandangan masing-masing.
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk. Ir. Zaini Ujang (gambar) berkata, sudut pidato itu tidak boleh dilihat sekadar memberikan ruang untuk mahasiswa bersuara sebaliknya ia perlu meliputi pembinaan dua aspek berkenaan.
''Seandainya pendapat mahasiswa itu berdasarkan khabar angin dan tidak tepat, maka mereka perlu bertanggungjawab di atas apa yang diperkatakan.
''Secara dasarnya, ia dapat melatih mahasiswa untuk berhati-hati mengeluarkan sebarang pendapat kepada orang lain,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah bahawa IPTA dan IPTS dibenar mewujudkan semula sudut pidato khas bagi meningkatkan kemahiran pengucapan awam di kalangan mahasiswa.
Bagaimanapun Saifuddin menegaskan, sudut pidato khas itu bergantung kepada persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) setiap universiti.
Sudut pidato diharamkan di semua IPT sejak 34 tahun lalu di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1975, namun dibenarkan semula selepas pindaan akta itu pada Februari tahun lalu.
Mengulas lanjut Zaini memberitahu, UTM bersedia untuk membenarkan segala kemudahan di universiti itu digunakan untuk menjayakan sudut pidato tersebut.
''Namun, dari segi sambutan, ia bergantung kepada kebijaksanaan mahasiswa sendiri untuk menarik perhatian pendengar,'' jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Omar Osman mengakui kewujudan sudut pidato itu sudah pasti berbeza dengan era mahasiswa pada zaman 60-an dan 70-an.
''Zaman kini mahasiswa sudah mempunyai banyak saluran untuk memperdengarkan pandangan mereka.
''Bagaimanapun, saya tetap optimis kaedah ini merupakan salah satu peluang untuk mahasiswa mengasah bakat mereka sebelum memasuki dunia pekerjaan,'' katanya.
Menyentuh mengenai isu politik yang mungkin menjadi topik pidato Omar menegaskan, mahasiswa kini sudah matang dan memahami batas kebebasan yang dibenarkan.
''Walaupun AUKU sudah dipinda, namun mahasiswa tahu di universiti bukan tempat sewajarnya membicarakan soal sedemikian,'' katanya.
Tambahnya, USM kini dalam peringkat perbincangan dengan pihak perwakilan mahasiswa sebelum membenarkan sudut pidato diwujudkan di universiti itu.
* Dalam melahirkan Pemimpin Bitara.
No comments:
Post a Comment