I made this widget at MyFlashFetish.com.

1/3/10

Masyarakat Islam Bantah Keputusan Mahkamah Membenarkan Gereja Menggunakan Kalimah Allah


KUALA LUMPUR: Pemimpin Islam semua parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang bimbang dengan implikasi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya, mahu kerajaan menyegerakan proses rayuan terhadap keputusan itu. Mereka berpendapat keputusan mahkamah Khamis lalu itu melanggar Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi dan mahu ia diperhalusi supaya sensitiviti agama dan kaum di negara ini diambil kira. Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat isu itu sebagai amat bahaya dan perlu diselesaikan segera kerana tidak mahu peristiwa Natrah di Singapura berulang di Malaysia.

"Penggunaan perkataan Allah (dalam majalah Herald-The Catholic Weekly) secara tidak langsung menyebarkan dakyah `Christianity' di kalangan orang Islam yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan bahawa agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Perkara ini harus dilihat oleh pengamal undang-undang, sama ada kehakiman mahupun guaman.

"Kita mengharapkan keadilan. Kes ini perlu diteliti bukan saja dari aspek perundangan sivil, tetapi juga perundangan syariah serta maksud tersirat Perlembagaan Persekutuan dan sensitiviti umat Islam," katanya.

Beliau meminta semua pihak menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa perkataan Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pergerakan itu bimbang dengan implikasi yang timbul berikutan keputusan mahkamah itu dan akan berjuang bagi menentukan kedudukan serta kesucian agama Islam tidak dicemarkan.

"Jika perlu kami akan memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Beliau berkata, Wanita Umno juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom bagi membincangkan isu itu. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat walau apa pun alasan yang diberi sebagai justifikasi keputusan berkenaan, ia tetap menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

"Terjemahan 'God' yang diguna dalam agama lain dalam bahasa Melayu atau Arab ialah 'Tuhan', bukan Allah. Allah spesifik Tuhan bagi orang Islam. Kalau mereka faham mereka akan guna perkataan Tuhan, bukan Allah.

"Saya akui kalimah Allah diguna di Sabah dan Sarawak sebelum mereka masuk (bergabung) dalam Malaysia... tetapi di Semenanjung kita tak pernah dengar pula," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Mahasiswa Melayu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam.

Pada 16 Februari tahun lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berharap rayuan segera dilakukan kerana melihat semacam ada satu usaha cuba merobek keadaan sehingga timbul kekeliruan di kalangan umat Islam.

"Ini bukan isu politik, ini isu akidah, tauhid yang umat Islam tidak akan beri respon (maklum balas) senyap terhadap isu ini," katanya.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, juga berharap kerajaan menyegerakan proses rayuan itu kerana ia melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberi jaminan orang bukan Islam tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh meragukan umat Islam.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kalimah Allah dalam akidah adalah membabitkan soal tauhid dan isu berkenaan perlu diteliti secara halus dan jika perlu, ada campur tangan Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan bagi mengelak suasana tegang dalam masyarakat.

"Jika kalimah Allah digunakan dalam agama Kristian, ia tidak membawa maksud sebenar dalam al-Quran kerana tidak menggambarkan ketauhidan.

"Kita tidak nafi ada istilah yang Allah sebut mengenai penggunaan Allah oleh bukan Islam, contohnya `Kalau kamu tanya mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi, nescaya mereka kata Allah. Dalam konteks penciptaan memang mereka mengatakan Allah tetapi nilai ketauhidan yang membezakan antara Islam dan bukan Islam," katanya.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin dari PKR berpendapat keputusan mahkamah berkenaan tidak tepat dan boleh dipertikaikan, malah akan menyebabkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.

Beliau dalam kenyataan media di laman blognya, berkata keputusan itu secara tidak langsung mencabar dan melanggar Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan fahaman dan dakyah agama lain tidak dibenarkan sama sekali terhadap orang Islam. Membenarkan penerbitan Kristian menggunakan perkataan Allah bagi penerbitan berbahasa Melayu jelas satu bentuk dakyah halus kerana Melayu adalah bangsa yang beragama Islam.

"Ini sekali gus mencabar dan tidak menghormati Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa orang Melayu mestilah beragama Islam; dengan membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam risalah penerbitan Kristian, ini sebenarnya dikira akan mendorong penganut Kristian dalam perlakuan jenayah kerana Enakmen Penyekatan Pengembangan Agama, Iktikad dan Kepercayaan Lain terhadap Orang Islam (Anti Propagation Law), yang digubal dengan sahnya menurut Artikel 11 Perlembagaan di beberapa negeri jelas memperuntukkan bahawa adalah satu kesalahan jenayah bagi sesiapa menggunakan perkataan tertentu termasuk 'Allah' kecuali bagi maksud Islam," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman menggesa kerajaan memfailkan rayuan serta-merta supaya keputusan itu dikaji semula dan melarang mana-mana agama selain Islam menggunakan kalimah Allah.

"Negara telah menikmati suasana kebebasan beragama selama mana Islam menjadi agama rasminya dan semua kaum di negara ini harus menghargainya dengan tidak mencuba menggugatnya dengan bertindak secara bodoh membangkitkan perkara remeh seperti ini," katanya.

Katanya, PPIM bimbang keputusan itu bakal mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara akibat sentimen agama umat Islam yang sensitif dengan perkara yang menyentuh soal kepercayaan mereka dan kebimbangan mereka akan nasib keturunan mereka jika perkara ini berterusan.

"Umat Islam mengenal Allah berserta sifatnya sekali dengan ketauhidan yang meliputi ketauhidan rububiah, uluhiah dan asma' wa sifat. Kita percaya Allah yang bercirikan ahadiah dan samadiah.

"Bagaimana mungkin pihak lain merujuk Allah sewenang-wenangnya tanpa melihat semula akan sifat dan ciri-ciri Allah yang sediakala itu? Apakah sifat Allah yang mereka percaya itu? Al-Quran ada menjelaskan bahawa orang Yahudi mempercayai Uzair itu anak Allah dan orang Nasrani pula percaya bahawa Al-Maseh itu anak Allah. Ini jelas bertentangan dengan Allah yang diimani oleh umat Islam," katanya.

1/1/10

PIMPINAN BITARA MENGHANTAR WAKIL KE KEM KEPIMPINAN MAHASISWA

Salam Aspirasi, Salam Satu Malaysia.

Merentasi masa menuntut kematangan pemikiran dan tindak tanduk mahasiswa, pimpinan bitara telah menghantar beberapa wakil yang dianggap layak untuk menjadi pimpinan mahasiswa yang bakal bertanding pada pemilihan majlis perwakilan pelajar sesi 2010/2011 tidak lama lagi.

Bermula 1 jan 2010 sehingga 3 jan 2010, antara calon yang dihantar ke kem tersebut adalah Saudara Suhaimi, Saudara Asree ( MPP 2008/2009 ), Saudara Zulhusni dan Saudari Nadiah. Pelbagai aktiviti yang telah disediakan oleh pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) bagi memantapkan soft skill untuk melahirkan pemimpin yang sesuai dengan kehendak semasa.

Kem ini adalah rentetan daripada kem BTN yang pertama telah diadakan oleh HEP di Kolej Aminuddin Baki , dan yang kedua adalah di Kuala Lipis, Pahang. Diharap dengan adanya kursus tersebut, pemilihan kepimpinan kali ini adalah yang terbaik dan memiliki kesemua ciri - ciri pemimpin yang seiring dengan kehendak zaman.

JOM JOIN SEKRETARIAT RUKUN NEGARA UPSI

PENGAMBILAN EXCO DAN AHLI BAGI SETIAP UNIT DALAM PERWAKILAN SEKRETARIAT RUKUN NEGARA, UPSI.

Sukacita dimaklumkan bahawa Perwakilan Sekretariat Rukun Negara UPSI akan membuka kaunter pendaftaran untuk menjadi Exco Perwakilan Sekretariat Rukun Negara dan ahli baru. Hal ini bertujuan untuk meningkatkan penghayatan terhadap Rukun Negara sekaligus mempuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.


Tarikh: 5,6 dan 7 Januari 2010
Tempat: Ruang Legar Bitarasiswa
Masa: 9:00 pagi-4:30 petang

Sebarang pertanyaan sila hubungi:



PRESIDEN SEKRETARIAT RUKUN NEGARA UPSI

Zulhusni Bin Zulkipli 019-4605742

POSTING..MENGIKUT KEKOSONGAN..Upsi di anak tirikan???

Memetik dari kupasan Naib Canselor UPSI , Dato Prof Dr Aminah binti Ayob daripada TV 3, keputusan Kementerian memilih penempatan guru mengikut kekosongan perlulah dipertimbangkan dan seharusnya isu ini dipertimbangkan kerana hal sedemikian telah memburukkan reputasi salah sebuah pusat pengeluaran guru yang terbesar yakni Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim. Isu ini sedikit sebanyak telah menimbulkan kebimbangan kepada bakal pelajar yang akan memasuki IPT tersebut mengenai peluang pekerjaan yang disediakan untuk mereka. Berikut adalah keterangan dari petikan surat khabar melaporkan fenomena yang melanda universiti pendidikan kini.

PUTRAJAYA: Penempatan graduan lulusan Sarjana Muda Pendidikan daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sekolah hanya akan dilakukan berdasarkan kekosongan jawatan dan pengkhususan mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ia kerana kementerian terpaksa memberi keutamaan kepada graduan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) lulusan 27 Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.

“IPG melatih guru bagi memenuhi keperluan Kementerian Pelajaran berbanding IPTA yang kebanyakannya bertujuan memenuhi permintaan sektor swasta.

“Sebab itulah, dalam soal penempatan sekolah, keutamaan akan diberikan kepada lulusan KPLI dan jika ada kekosongan baru kita menempatkan graduan lulusan IPTA tetapi ia bergantung kepada kekosongan serta bidang pengkhususan yang diambil ketika di universiti,” katanya kepada media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Kualiti peringkat kementerian di sini, semalam.

Justeru, Mohd Puad berkata, isu penempatan tidak seharusnya timbul kerana proses penempatan semua graduan KPLI dari IPG sudah selesai untuk sesi persekolahan yang bermula Ahad dan Isnin ini.

Bagaimana pula mereka yang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang belajar 4 tahun berbanding mereka yang mengambil DPLI atau KPLI hanya 9 bulan sahaja?Bagaimana dengan nasib dan masa depan kami?

Sudut Pidato IPTA/IPTS Lahirkan Mahasiswa Bersifat Berani

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Kewujudan sudut pidato di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) berupaya melahirkan mahasiswa yang mempunyai sifat berani dan bertanggungjawab dalam melontarkan pandangan masing-masing.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk. Ir. Zaini Ujang (gambar) berkata, sudut pidato itu tidak boleh dilihat sekadar memberikan ruang untuk mahasiswa bersuara sebaliknya ia perlu meliputi pembinaan dua aspek berkenaan.

''Seandainya pendapat mahasiswa itu berdasarkan khabar angin dan tidak tepat, maka mereka perlu bertanggungjawab di atas apa yang diperkatakan.

''Secara dasarnya, ia dapat melatih mahasiswa untuk berhati-hati mengeluarkan sebarang pendapat kepada orang lain,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah bahawa IPTA dan IPTS dibenar mewujudkan semula sudut pidato khas bagi meningkatkan kemahiran pengucapan awam di kalangan mahasiswa.

Bagaimanapun Saifuddin menegaskan, sudut pidato khas itu bergantung kepada persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) setiap universiti.

Sudut pidato diharamkan di semua IPT sejak 34 tahun lalu di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1975, namun dibenarkan semula selepas pindaan akta itu pada Februari tahun lalu.

Mengulas lanjut Zaini memberitahu, UTM bersedia untuk membenarkan segala kemudahan di universiti itu digunakan untuk menjayakan sudut pidato tersebut.

''Namun, dari segi sambutan, ia bergantung kepada kebijaksanaan mahasiswa sendiri untuk menarik perhatian pendengar,'' jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Omar Osman mengakui kewujudan sudut pidato itu sudah pasti berbeza dengan era mahasiswa pada zaman 60-an dan 70-an.

''Zaman kini mahasiswa sudah mempunyai banyak saluran untuk memperdengarkan pandangan mereka.

''Bagaimanapun, saya tetap optimis kaedah ini merupakan salah satu peluang untuk mahasiswa mengasah bakat mereka sebelum memasuki dunia pekerjaan,'' katanya.

Menyentuh mengenai isu politik yang mungkin menjadi topik pidato Omar menegaskan, mahasiswa kini sudah matang dan memahami batas kebebasan yang dibenarkan.

''Walaupun AUKU sudah dipinda, namun mahasiswa tahu di universiti bukan tempat sewajarnya membicarakan soal sedemikian,'' katanya.

Tambahnya, USM kini dalam peringkat perbincangan dengan pihak perwakilan mahasiswa sebelum membenarkan sudut pidato diwujudkan di universiti itu.

* Dalam melahirkan Pemimpin Bitara.

Sambutan Meriah 2010



KUALA LUMPUR 31 Dis. – Kedatangan tahun baru 2010 disambut dengan meriah oleh pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara malam tadi. Di ibu negara, sambutan ambang tahun baru diadakan di beberapa lokasi dengan beberapa aktiviti yang berlainan daripada kebiasaan.

Di Menara Berkembar Petronas, kira-kira 10,000 warga kota membanjiri kawasan persekitaran tasik di situ dan mereka dihiburkan dengan persembahan pancutan air berirama bermula pukul 9.25 malam. Persembahan itu ternyata menghidupkan suasana sambutan sambutan tahun baru di kalangan pengunjung termasuk pelancong asing.

Kemuncaknya ialah persembahan bunga api yang bermula tepat pukul 12 tengah malam serentak dengan lapan lagi persembahan seumpamanya di lokasi berbeza di sekitar ibu negara. Di Dataran Merdeka pula, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin serta Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim bersama kira-kira 30,000 warga kota meraikan sambutan tahun baru 2010 dengan Konsert Ambang 2010.

Konsert itu merupakan anjuran Kumpulan AmBank dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula pukul 8 malam diikuti dengan pertunjukan bunga api tepat pada detik 12 tengah malam. Antara artis terkenal yang menghiburkan pengunjung ialah Ella, Kumpulan Hujan, Bunkface dan Amy Search selain persembahan tarian 1Malaysia daripada kumpulan Permata Negara.

Sebelum acara dimulakan, pengunjung mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyampaikan amanat tahun baru. Di Bukit Bintang, sambutan tahun baru 2010 juga meriah apabila kira-kira 2,000 warga kota pelbagai kaum termasuk warga asing hadir untuk memeriahkan sambutan tersebut.

Di Menara Kuala Lumpur, sambutan tahun baru menampilkan kelainan apabila seramai 10 orang penerjun tempatan membuat penerjunan tanpa henti bagi memeriahkan acara. Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan persembahan bunga api di sekitar ibu negara dari Pelantar Terbuka pada ketinggian 300 meter.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, 50 pengunjung tempatan dan 50 pengunjung luar negara yang paling awal berpeluang mengadakan lawatan ke Pelantar Pemandangan dan Air H20. “Penerjunan tanpa henti bermula dari pukul 9 malam hingga 1 pagi bagi memeriahkan lagi sambutan tahun baru,’’ katanya.

Pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Mohd. Faiz Mohd. Nor Lidzan, 23, berkata, ini merupakan peluang terbaik untuk dia dan rakannya turut sama menyambut tahun baru dengan warga kota yang lain. Pekerja bahagian teknologi komputer Universiti Malaya (UM), Syafawil Malifuad, 29, pula berkata, sambutan tahun baru di negara ini amat meriah dengan pelbagai aktiviti.

Kemeriahan sambutan itu turut dirasai oleh pelancong asing yang hanya mahu dikenali sebagai Tony, 50, dari Australia yang menyifatkan pengalaman menyambut tahun baru di Bukit Bintang sebagai menakjubkan. Dia dan pasangannya, Debbie Dewhirst, 50, gembira kerana dapat bersama-sama dengan pelbagai kaum di Malaysia meraikan sambutan tahun baru 2010.

“Saya kagum melihat pelbagai kaum di Malaysia bersama-sama meraikan sambutan tahun baru dalam suasana aman,’’ ujarnya. Alireza Ismail Jamal, 35, dari Iran yang berkunjung ke Bukit Bintang bersama ahli keluarganya turut kagum dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan rakyat negara ini. “Jika ada peluang kami mahu bersama-sama meraikan tahun baru di Malaysia pada tahun depan,” katanya.

'1 MALAYSIA 1 ASPIRASI'

Graduan Tajaan Diserap Automatik

KUALA LUMPUR: Semua graduan tajaan Kementerian Pelajaran bagi program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diberi jaminan akan diserapkan secara automatik dalam perkhidmatan kementerian itu.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata graduan tidak ditaja Kementerian Pelajaran perlu membuat permohonan tetapi tiada jaminan penempatan ke sekolah apabila tamat pengajian.

Beliau berkata, ini kerana bilangan pelajar tajaan ditetapkan mengikut unjuran jumlah guru yang diperlukan di sekolah Kementerian Pelajaran apabila mereka tamat pengajian.

“Kementerian Pelajaran ada berhubung dengan IPTA untuk menentukan bilangan guru (diperlukan mengikut unjuran). Bagaimanapun, IPTA ada program sendiri, tidak semestinya pelajar yang dilatih dalam bidang keguruan untuk Kementerian Pelajaran saja

“Oleh itu, tidak timbul isu kerana kementerian sudah ada unjuran. Universiti kadang-kadang melatih lebih ramai pelajar untuk keperluan tempat lain seperti sektor swasta. Tiada masalah kerana pelajar tahu bahawa mereka yang ditaja akan automatik memasuki Kementerian Pelajaran apabila tamat pengajian,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah Manifestasi Perdana Seni Khat 2009M/1430H di Muzium Kesenian Islam Malaysia, di sini semalam.

Mohd Fadil Sulaiman muncul johan seni khat thuluth, manakala seni khat nasakh dimenangi Mohd Zulfikri Mohd Sobri dan seni khat riq`ah ialah Zawadi Che Seman bagi peringkat dewasa kategori Seni Khat Tradisional Di Atas Kertas (Spontan).

Wan Mohammad Amirul Akmar Wan Rasid muncul johan Seni Khat Nasakh dan Riq`ah peringkat bawah 18 tahun. Johan kategori Seni Lukisan Khat Tradisional Atas Kanvas peringkat terbuka ialah Mohd Shafiq Mohamad dan johan kategori Seni Lukisan Khat Kontemporari Atas Kanvas terbuka, Ahmad Jurjani Hishamudin.

Laporan akhbar semalam memetik Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, sebagai berkata penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari IPTA ke sekolah hanya akan dibuat berdasarkan kekosongan jawatan dan pengkhususan mereka kerana kementerian terpaksa memberi keutamaan kepada lulusan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dari 27 institut pendidikan guru (IPG) seluruh negara.

Sambil menjelaskan guru Bahasa Inggeris dan Matematik ialah antara keperluan kritikal, Alimuddin berkata, graduan bukan tajaan kementerian perlu menunggu iklan permohonan yang kadang kala dua kali setahun untuk memasuki perkhidmatan pendidikan melalui proses biasa, termasuk menduduki Inventori Sahsiah

Keguruan (Insak) serta menjalani temu duga.

Mengulas isu sama, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan, menasihati graduan tidak terlalu mengharapkan kerjaya perguruan kerajaan, sebaliknya mencari peluang mengajar dalam sektor swasta serta di luar negara.

“Ini kerana IPG lebih memberi latihan kepada bakal tenaga pengajar mengikut keperluan semasa, sedangkan graduan pendidikan IPT lebih kepada bidang mereka sendiri bukan berdasarkan keperluan,” katanya